10 disyaki GRO antara 18 ditahan Ops Gegar di Tawau

10 disyaki GRO antara 18 ditahan Ops Gegar di Tawau

Kota Kinabalu: Seramai 18 individu termasuk 10 wanita disyaki pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam serbuan Ops Gegar di sebuah pusat hiburan di Tawau, malam tadi.

Dalam operasi jam 2.15 pagi itu, semua pendatang asing tanpa izin (PATI) itu ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Tawau selepas didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Sebahagian wanita disyaki pelayan pelanggan (GRO) yang ditahan di pusat hiburan dalam serbuan menerusi Op Gegar.

Malah ada juga antara mereka yang dikesan melakukan kesalahan tinggal di negara ini melebihi masa.

Jurucakap JIM Sabah berkata, dalam operasi berkenaan, seramai 81 individu membabitkan pekerja dan pengunjung premis ditahan bagi menjalani pemeriksaan dokumentasi.

Pegawai JIM Tawau melakukan pemeriksaan ke atas individu yang ditahan dalam serbuan di pusat hiburan berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, 18 daripada individu terbabit gagal mempamerkan dokumen diri yang sah dan melanggar Akta Imigresen.

“Mereka yang ditahan adalah membabitkan lapan lelaki dan 10 warganegara Filipina serta Indonesia.

“Mereka ditahan dikesan melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, seorang lelaki yang juga dipercayai majikan premis berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Sementara itu, jurucakap JIM Sabah berkata, Operasi Bersepadu Gegar JIM Sabah itu dijalankan dengan kekuatan seramai 18 pegawai dan anggota.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|