
Kota Kinabalu: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dicabar supaya membuktikan dakwaannya mengenai dua juta hektar tanah di negeri ini ‘dijual’ melalui perjanjian karbon kredit dengan syarikat luar.
Tiga wakil kerajaan termasuk Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, bangun meminta penjelasan Shafie ketika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu membahaskan Belanjawan Sabah 2022 pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.
Jahid yang juga ADUN Tamparuli meminta Shafie memberikan bukti mengenai dakwaannya, manakala ADUN Sungai Manila, Mokran Ingkat menegaskan beliau tidak bersetuju dengan tuduhan bahawa kerajaan negeri menjual tanah.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, pula bangun menyuarakan peraturan DUN bahawa kenyataan Shafie mengenai menjual dua juta hektar tanah itu sebagai satu sangkaan jahat kecuali ia dibuktikan.
Dalam perbahasannya, Shafie meminta supaya kerajaan negeri bersikap telus mengenai sebarang perjanjian berkaitan karbon kredit yang dikatakan sudah ditandatangani kerajaan negeri dengan syarikat berpangkalan di Singapura.
Katanya, jika benar perjanjian itu sudah ditandatangani, ia sesuatu yang membimbangkan kerana ia membabitkan soal tanah yang tidak sepatutnya diurus pihak luar.
Jelasnya isu itu timbul berikutan surat Peguam Besar Negeri yang dikatakan bertentangan dengan pendirian kerajaan untuk meneruskan perjanjian berkenaan yang membabitkan tempoh 100 tahun.
“Saya bersetuju bahawa karbon kredit adalah baik tetapi skim itu yang tidak bagus untuk Sabah. Kita mahu pendapatan tetapi bukan dengan menjual tanah.
“Kenapa kita perlu menjual tanah? Tanah seluas dua juta hektar adalah kira-kira 50 kali saiz Singapura, ini sesuatu yang membimbangkan. Saya berharap ia dibatalkan demi kepentingan generasi akan datang negeri ini,” katanya.
Beliau turut meminta agar perkara itu disiasat dan didedahkan di DUN, selain meminta Ketua Menteri menjawabnya pada sesi penggulungan Kementerian Kewangan dalam Persidangan DUN kali ini.
Pada masa yang sama, Shafie turut meminta kerajaan negeri memaklumkan lokasi tanah yang terbabit dalam perjanjian karbon kredit berkenaan.
Selain itu, Shafie turut meminta kerajaan negeri supaya memberi penjelasan mengenai isu Sabah Forest Industry (SFI), termasuk berkaitan tanah milik syarikat itu di Sipitang.
-Deasoka