
Kota Kinabalu: Syarikat PETRONAS Carigali dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) menjadi penyumbang terbesar kutipan cukai julan negeri bagi produk petroleum yang dikutip kerajaan Sabah antara April tahun lalu hingga November tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kedua-dua syarikat itu, masing-masing membayar RM444.5 juta dan RM429.9 juta daripada keseluruhan RM1.562 bilion kutipan cukai jualan negeri produk petroleum dalam tempoh itu.
Selebihnya, beliau berkata disumbangkan Conoco Malaysia (RM212.8 juta), Sabah Shell (RM210.7 juta), PTTEP Malaysia (RM76 juta), Petronas Floating LNG 1 (RM63.6 juta), Petronas Floating LNG 2 (RM56.6 juta) Repsol (RM31.3 juta), PT Pertamina Malaysia (RM28.9 juta), ConocoPhilips (RM7.7 juta) dan E&P Malaysia (RM0.46 juta).
“Inilah keseluruhan pungutan hasil cukai jualan petroleum yang berjumlah RM1.562 bilion dikutip sehingga November tahun ini,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN – Senallang) mengenai kutipan cukai jualan petroleum.
Terdahulu, Pembantu Menteri Kewangan negeri, Jasni Daya ketika menjawab soalan asal Phoong Jin Zhe (DAP – Luyang), berkata cukai jualan negeri ke atas produk petroleum yang mula berkuatkuasa pada April 2020 dikenakan ke atas minyak mentah petroleum dan gas asli atau gas asli cecair pada kadar lima peratus bagi setiap produk terbabit.
Katanya, anggaran asal kutipan cukal itu pada pada tahun ini ialah RM1.25 bilion, namun disebabkan kenaikan harga komoditi berkenaan, anggaran itu disemak semula dan meningkat kepada RM1.4 bilion.
“Sukacita dimaklumkan bahawa setakat 28 November 2021, kerajaan menerima bayaran cukai sebanyak RM1.385 bilion atau 98.9 peratus daripada Anggaran Disemak ke atas kutipan cukai ini.
“Jika dikira sejak cukai ini mula berkuatkuasa pada April 2020, maka jumlah cukai terkumpul yang dikutip sehingga kini ialah RM1.562 bilion yang mana pada 2020 kutipan adalah sebanyak RM177.88 juta,” katanya.
-Deasoka