Sabah mahu maksimumkan nilai sumber minyak dan gas

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mahu memastikan pembangunan industri minyak dan gas bukan sekadar berasaskan penerokaan dan pengeluaran sumber, sebaliknya mampu mewujudkan nilai ekonomi lebih besar serta manfaat berpanjangan kepada negeri dan rakyatnya.


Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata persoalan lebih penting bukan semata-mata berapa banyak sumber yang dimiliki Sabah, tetapi sejauh mana nilai dapat diwujudkan daripada sumber berkenaan untuk manfaat negeri dan rakyat.


Beliau berkata, industri minyak dan gas merangkumi keseluruhan rantaian nilai, daripada infrastruktur dan perkhidmatan sokongan kepada aktiviti pertengahan dan hiliran, pembangunan vendor, teknologi, tenaga kerja berkemahiran, pelaburan serta aktiviti ekonomi yang berkembang dalam lingkungan industri itu.


“Sudah tentu, kita mahu supaya perkembangan industri ini dapat mewujudkan limpahan ekonomi yang lebih luas kepada Sabah,” katanya pada Majlis Pemeteraian Perjanjian Pajakan Tanah Projek Sabah Oil & Gas Terminal (SOGT) dan Projek Sabah-Sarawak
Gas Pipeline (SSGP) antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dan PETRONAS di Kimanis Ballroom, Hyatt Regency Kinabalu, hari ini.


Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Negeri, Datuk Ewon Benedick.


Hajiji berkata, perkembangan aktiviti eksplorasi serta penemuan sumber baharu dalam beberapa tahun kebelakangan ini membayangkan prospek pembangunan industri minyak dan gas yang lebih besar kepada Sabah pada tahun mendatang.


Katanya, infrastruktur SOGT dan SSGP perlu dilihat bukan sekadar berdasarkan fungsi operasinya masing-masing, tetapi sebagai sebahagian daripada infrastruktur penting yang menyokong ekosistem pertumbuhan ekonomi negeri.


Beliau berkata, kedudukan infrastruktur itu berpotensi membuka ruang kepada perkembangan aktiviti ekonomi dan industri di kawasan sekitarnya, khususnya koridor Kimanis hingga Sipitang yang mempunyai potensi untuk terus berkembang sebagai kawasan pertumbuhan penting Sabah.

Tinggalkan Balasan