KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Putatan; Datuk Ir Shahelmey Yahya menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan penjelasan secara tuntas mengenai isu Sabah menjadi negeri yang merekodkan jumlah tunggakan bil rawatan kesihatan golongan pelarian dan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang paling
tinggi.
Menurut beliau, dapatan menerusi laporan Jawatankuasa Pilihan Hak Asasi Manusia,
Pilihan Raya dan Reformasi Institusi berkenaan Pengurusan Pelarian di Malaysia (DR 21) merekodkan Sabah sebagai negeri tertinggi menanggung kos rawatan tersebut bagi tahun 2025.
“Dapatan yang dinyatakan dalam muka surat 16 tersebut boleh mendatangkan tidak kurang senang kepada rakyat.
“Pendedahan tersebut boleh mencetuskan tanggapan ‘first class treatment’ kepada pesakit warga asing, khususnya golongan PATI, yang merupakan penyumbang tertinggi kepada tunggakan bil rawatan golongan pelarian.
“Sehubungan dengan itu, Putatan ingin mendapatkan penjelasan daripada KKM mengenai punca utama yang menyebabkan Sabah menjadi negeri yang merekodkan jumlah tunggakan bil rawatan kesihatan golongan pelarian yang paling tinggi, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan teks perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Kesihatan di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Shahelmey menjelaskan bagi
tahun 2025, sektor kesihatan awam terpaksa menanggung RM1.06 juta tunggakan daripada bil rawatan kesihatan golongan pelarian.
Jelasnya lagi, pendedahan tersebut menjelaskan lagi hakikat bahawa golongan pelarian yang menumpang di negara ini mengambil kesempatan terhadap layanan tanpa sempadan yang diberikan oleh kerajaan.
Sementara itu, mengenai Parlimen Putatan, Shahelmey turut mendedahkan terdapat keperluan mendesak bagi membina sebuah hospital di daerah berkenaan.
“Hospital daerah yang dimaksudkan tersebut merupakan satu keperluan teratas yang mesti diberi penekanan oleh KKM, memandangkan populasi daerah Putatan telah menjangkau angka 70,000 penduduk berdasarkan dapatan daripada bancian.
“Pakar Perubatan Kesihatan Pekerjaan & Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pejabat Kesihatan Daerah Putatan, Dr. Balachandar mengklasifikasikan pembinaan hospital daerah Putatan sebagai keperluan mendesak.
“Pengklasifikasian tersebut dibuat antaranya bersandarkan kepada realiti keperluan terhadap rawatan bagi penyakit tidak berjangkit yang semakin meningkat, “katanya lagi.
Tambah beliau, pihaknya memohon pertimbangan serius pihak KKM agar hospital daerah Putatan yang dihasratkan tersebut dapat disenaraikan dalam agenda pembangunan hospital baharu bagi maksud butiran perbelanjaan pembangunan berkenaan.
