KOTA KINABALU: Kelewatan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu Kerajaan Negeri kerana ia membabitkan pelbagai cabaran teknikal, pentadbiran dan kewangan.
Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, kelewatan itu perlu ditangani menerusi kerjasama semua pihak berkaitan, bukannya budaya saling menyalahkan.
Menurutnya, lebih 70% projek berkenaan membabitkan kerja pelebaran jalan Persekutuan sedia ada daripada dua kepada empat lorong, yang turut melibatkan pengambilan tanah, bangunan, kawasan penempatan penduduk serta pemindahan utiliti.
Beliau yang juga Ketua Merinyu Sabah itu berkata, antara punca utama kelewatan ialah perubahan reka bentuk asal yang tidak sepenuhnya menepati keadaan sebenar di tapak, sekali gus memerlukan penelitian dan penyelarasan oleh pelbagai perunding serta pakar teknikal yang dilantik Kementerian Kerja Raya (KKR).
Katanya, setiap perubahan reka bentuk juga boleh menyebabkan pertambahan kos, yang memerlukan penilaian teknikal serta kelulusan kewangan daripada KKR dan Kementerian Kewangan (MOF).
“Proses kelulusan yang panjang turut menjejaskan kelancaran projek,” katanya menerusi satu kenyataan.
Sehubungan itu, Salleh mencadangkan KKR dan MOF menyediakan mekanisme kelulusan yang lebih pantas dan jelas, khususnya bagi Arahan Perubahan Kerja (VO) serta pelarasan had kewangan.
Beliau berkata, mekanisme berkenaan wajar dimasukkan dalam kontrak asal atau dimuktamadkan menerusi Perjanjian Tambahan bagi mengelakkan kelewatan berulang.
Salleh berkata, projek itu membabitkan tanggungjawab bersama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, perunding, kontraktor dan syarikat utiliti.
Justeru, setiap pihak perlu dinilai berdasarkan bidang kuasa serta tanggungjawab masing-masing, tanpa menjadikan mana-mana pihak sebagai sasaran kesalahan sepenuhnya.
“Rakyat Sabah tidak memerlukan budaya saling menyalahkan. Mereka mahu melihat lebuh raya ini disiapkan.
“Apa yang diperlukan ialah kerjasama lebih erat, keputusan lebih pantas dan kelulusan yang lebih cekap,” katanya.
Beliau menegaskan keutamaan semua pihak perlu tertumpu kepada usaha mengurangkan kelewatan, mempercepat pelaksanaan dan memastikan projek berkenaan disiapkan demi kepentingan rakyat Sabah.
