KUDAT: Kekuatan akar umbi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu membina konsistensi terhadap kepimpinan pucuk pimpinan terutamanya Datuk Seri Hajiji Noor mentadbir negeri ini dengan maju jaya.
AJK PGRS Tawau; Datuk Najib Tay Abdullah berkata, sehubungan itu sudah menjadi kewajiban bahawa setiap ahli dan pemimpin dibawah payung GRS perlu memperkasa parti tersebut untuk menjadi tunjang perjuangan mempertahankan martabat rakyat Sabah.
Jelasnya, Hajiji juga dilihat sebagai seorang pemimpin yang sentiasa berpegang kepada prinsip Sabah diutamakan dan bekerja tanpa retorik politik.
“Sehubungan itu, secara jelas para pemimpin mahupun ahli-ahli GRS wajar mempertahankan kepimpinan Hajiji selaku ketua kita yang telah berjuang selama ini meningkatkan Sabah ke persada lebih tinggi dari sebelumnya.
“Lihatlah pelbagai manfaat yang diterima rakyat Sabah menerusi pelaksanaan Hala Tuju SMJ 2.0, pelbagai rebat, program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR), Rumah SMJ dan bermacam lagi.
“Bukan itu sahaja, dengan keibawaan Hajiji yang juga selaku Ketua Menteri Sabah, kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan berjalan dengan baik serta utuh, lihatlah peruntukkan sebanyak RM18.7 bilion kepada kita menerusi Belanjawan 2027 baru-baru ini, “katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui dalam Konvensyen GRS yang berlangsung di Kudat, hari ini.
Konvensyen berkenaan merupakan julung kali diadakan yang bertempat di Dewan Tun Mustapa, Kudat dan merupakan wadah menghimpunan pimpinan pusat serta pemimpin utama bahagian-bahagian dalam satu platform.
Antara lain konvensyen tersebut memberi fokus dan strategi politik kepada gabungan itu memperkasa kesiapsiagaan parti khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16.
