PAPAR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum mengadakan sebarang perbincangan rasmi berhubung agihan kerusi Parlimen bersama rakan kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu perlu dibincangkan secara bersama memandangkan gabungan berkenaan dianggotai pelbagai parti.
Menurutnya, sebarang pandangan mengenai agihan kerusi juga belum wajar diberikan secara peribadi selagi perkara itu belum dibawa ke peringkat perbincangan kepimpinan GRS.
Armizan menegaskan GRS sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan parti lain, sama ada sebelum mahupun selepas pilihan raya.
Jelasnya, keutamaan ketika ini adalah memastikan kestabilan kerajaan negeri terus terpelihara bagi membolehkan khidmat kepada rakyat dapat diteruskan.
“Kalau kita lihat, GRS ini terbuka. Dalam PRN yang lepas dulu pun kita ada bekerjasama dalam pilihan raya negeri dan kerjasama pun kita buat juga dengan parti lain selepas pilihan raya.
“Jadi, bagi saya, apa yang penting adalah mewujudkan kestabilan kepada kerajaan negeri untuk membolehkan kita memberikan khidmat kepada masyarakat.
“Jadi, itu yang jauh lebih penting sebab kita pernah terbuka untuk bekerjasama dengan pihak lain sebelum pilihan raya dan begitu juga kita bekerjasama untuk menubuhkan kerajaan.”
Terdahulu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud pada 20 November memaklumkan gabungan itu akan mempertahankan tiga kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU15, iaitu Sepanggar, Kota Kinabalu dan Sandakan.
PH Sabah pada masa sama turut meneliti beberapa kerusi tambahan yang berpotensi untuk ditandingi, termasuk kawasan yang bukan dimiliki GRS, tanpa menjejaskan kerjasama dengan rakan komponen dalam kerajaan negeri.
Mustapha sebelum ini turut mengesahkan rundingan rasmi antara PH dan GRS berhubung kerjasama PRU16 belum diadakan, meskipun perbincangan tidak rasmi sudah berlangsung.
Perkembangan itu memperlihatkan kedua-dua gabungan masih memberi ruang kepada kerjasama politik, namun persoalan agihan kerusi dan strategi menghadapi PRU16 masih menunggu perbincangan rasmi.
