SEMPORNA: Tindakan pantas Task Force Perisikan Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran rokok tidak bercukai dalam Op Taring Alpha 1 menerusi operasi intra dan inter agensi di tepi Jalan Kampung Selamat, di sini, semalam.
Operasi berkenaan dilaksanakan hasil maklumat risikan bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.
Menurut sumber, pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi berwarna hijau menemukan sebanyak 115 karton rokok pelbagai jenis dipercayai tidak bercukai yang disimpan di dalam bonet belakang serta di luar kenderaan terbabit.
Seorang lelaki warga asing berusia 25 tahun turut ditahan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
Hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku bertindak sebagai ‘runner’ dengan menerima upah sebanyak RM100 daripada seorang individu dikenali sebagai “Jais”. Suspek juga dipercayai menjalankan aktiviti penjualan rokok tanpa cukai secara kecil-kecilan di sekitar Kampung Selamat.
Pihak berkuasa turut merampas kenderaan yang digunakan dalam kegiatan tersebut. Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM51,400 melibatkan rokok pelbagai jenama dan sebuah kenderaan.
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63. Semua tangkapan serta barang rampasan telah diserahkan kepada IPD Semporna untuk tindakan lanjut.
Risikan lanjut masih diteruskan bagi mengesan rangkaian sindiket yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan berkenaan.
