PUTATAN: Manifestasi aktiviti fizikal dalam membina persekitaran dan prestasi akademik amat digalakkan bagi mengangkat status sekolah-sekolah di Putatan terus cemerlang.
Ahli Parlimen Putatan; Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, sehubungan itu, prestasi akademik dan aktiviti fizikal seperti sukan perlu diseimbangkan demi memastikan pencapaian kedua-dua elemen tersebut dapat berkembang dari semasa ke semasa.
Jelasnya, selain melahirkan pelajar yang berjaya dalam mata pelajaran, kecemerlangan aktiviti sukan juga dilihat penting untuk mengangkat nama sekolah-sekolah di daerah ini dan seterusnya mendapat tempat di platform sewajarnya.
“Oleh itu, pembangunan holistik melibatkan dua agenda ini amat memain peranan penting demi melahirkan pelajar lebih beribawa di masa hadapan baik dalam prestasi akademik dan sukan.
“Pada masa yang sama, ia mempertingkatkan kualiti yang ada di sekolah kita dan seterusnya membuktikan Putatan juga mempunyai sekolah berkualiti di Sabah, “katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas Kejohanan Sukan Tahunan kali ke-26 SMK Tansau, dekat sini, Khamis.
Hadir sama adalah Pegawai Pendidikan Daerah Penampang; Rusmadi Ahmad, Pengetua SMK Tansau; Dr Miller Yong, Pegawai Tugas-Tugas Khas Parlimen Putatan; Mohd Sufian Matin, Pegawai Khas Parlimen Putatan; Mahadzir Abd Majid dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat; Latip Jiar.
Sementara itu, Shahelmey yang juga Pengerusi Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) berkata, kejohanan sukan itu dilihat dapat menyemai kesedaran di kalangan murid untuk mencipta kecemerlangan bidang kokurikulum, kemahiran sosial dan kepimpinan disiplin diri.
“Saya difahamkan tema sukan tahun ini di SMK Tansau adalah Alam Sekitar: Flora dan Fauna yang mana ia dilihat bertepatan untuk mengajar mereka kepentingan memelihara, menghargai dan melindungi khazanah alam semula jadi.
“Sambil bersukan, kita juga tidak lupa untuk mendedahkan kepada para pelajar berkaitan pendidikan dan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan flora dan fauna, “katanya.
