LAHAD DATU: Polis Daerah Lahad Datu melalui Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) menahan dua lelaki tempatan dan merampas dadah disyaki syabu seberat keseluruhan 5.81 gram dalam dua tangkapan berasingan semasa pelaksanaan Op Tapis di sekitar Jalan Reno Fajar, di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Haji Dzulbaharin Haji Ismail berkata, operasi tersebut mencerminkan komitmen berterusan pihak polis dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan serta pengedaran dadah di daerah ini.
Menurutnya, tangkapan pertama dilakukan kira-kira jam 2.50 petang melibatkan seorang lelaki berusia 48 tahun.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek memiliki 0.43 gram dadah disyaki syabu dan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam tangkapan kedua kira-kira jam 3.20 petang di lokasi sama, polis menahan seorang lagi lelaki berumur 37 tahun.
Pemeriksaan lanjut mendapati suspek memiliki 5.38 gram dadah disyaki syabu bersama bahan pembungkusan, selain turut didapati positif dadah hasil ujian saringan awal.
“Kes kedua disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Tambah beliau, kedua-dua suspek akan direman bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut.
