TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing yang disyaki terbabit dalam kes pecah rumah dan mencuri papan kayu belian di Kampung Melati Burut, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia lingkungan 40-an itu ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dengan bantuan Balai Polis Bombalai di tepi jalan Kampung Melati Burut, kira-kira jam 6.35 petang.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada Ahad lalu sekitar jam 8 malam apabila mangsa menyedari pintu dapur belakang rumahnya mengalami kerosakan sebelum mendapati sebanyak 40 keping papan kayu belian telah hilang.
“Anggaran kerugian yang dialami mangsa adalah kira-kira RM2,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
ACP Jasmin berkata, hasil tangkapan turut membawa kepada rampasan sembilan batang kayu belian serta sebilah pisau panjang yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah berkenaan.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan 1958, serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah harta benda dan pelanggaran undang-undang imigresen di daerah Tawau.
