TAWAU: Seorang lelaki ditemukan maut selepas dipercayai terbelit pada tali jangkar sebuah kapal di Pelabuhan Pasar Ikan, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 pagi itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi membantu mengeluarkan mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Jemishin Ujin, berkata sepasukan tujuh anggota bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 1.1 kilometer dari balai.
“Pasukan tiba di lokasi pada jam 3.38 pagi dan mendapati mangsa terbelit pada tali jangkar kapal.
“Anggota bertindak memotong tali berkenaan menggunakan peralatan khas sebelum berjaya mengeluarkan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa turun dari kapal menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Mangsa dikenali sebagai Padro Juvie, 40, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Operasi yang turut dibantu tiga anggota polis itu tamat sepenuhnya pada jam 5.01 pagi,” katanya.
