KOTA KINABALU: Dakwaan tiga Ahli Parlimen yang mempersoalkan kredibiliti siasatan agensi penguat kuasa dalam isu yang dikaitkan dengan dakwaan “mafia korporat” disifatkan sebagai tidak berasas dan berpotensi menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi penguat kuasa negara.
Mantan Presiden Kehormat Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia Negeri Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said, berkata kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; serta Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, yang mendakwa siasatan oleh agensi kerajaan sebagai konflik kepentingan adalah satu tuduhan yang tidak wajar.
Beliau berkata, tindakan mereka mempertikaikan mekanisme siasatan yang telah diputuskan kerajaan boleh memberi gambaran negatif terhadap usaha pihak berkuasa dalam memastikan integriti sistem penguatkuasaan undang-undang negara.
“Sebagai pemimpin yang dipilih rakyat, mereka seharusnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan agar tidak menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap institusi penting negara.
“Kerajaan sudah mengarahkan beberapa agensi berkaitan termasuk polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap dakwaan yang timbul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jerry berkata, kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa sebenarnya merupakan pendekatan yang lebih menyeluruh kerana setiap agensi mempunyai bidang kuasa dan kepakaran tersendiri dalam menyiasat elemen jenayah kewangan serta manipulasi korporat.
Menurutnya, tidak wajar untuk terus mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja sebelum siasatan awal oleh agensi berkaitan selesai dijalankan.
“Proses siasatan perlu diberi ruang untuk berjalan dengan telus dan profesional. Mendesak penubuhan RCI pada peringkat awal boleh memberi persepsi seolah-olah kita tidak mempercayai keupayaan agensi penguat kuasa sendiri,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa tuduhan yang dibuat tanpa bukti kukuh boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dan menjejaskan reputasi institusi yang selama ini berperanan penting dalam memerangi rasuah serta jenayah kewangan.
“Biarlah siasatan dilakukan secara teratur mengikut lunas undang-undang. Sekiranya terdapat sebarang salah laku, sudah tentu tindakan sewajarnya akan diambil mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.
Pada masa sama, Jerry menyeru semua pihak termasuk ahli politik agar memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan tidak membuat kenyataan yang boleh menjejaskan proses siasatan yang sedang berjalan.
“Rakyat mengharapkan semua pihak bersikap matang dan bertanggungjawab. Fokus utama seharusnya adalah memastikan kebenaran didedahkan melalui proses siasatan yang adil dan telus,” katanya.
