KOTA KINABALU: Ekonomi Biru akan menjadi pemacu strategik dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi mentransformasikan struktur ekonomi negeri ke arah pertumbuhan bernilai tambah tinggi, inklusif dan mampan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata pendekatan itu berteraskan kelebihan maritim serta kekayaan biodiversiti Sabah yang merangkumi pelbagai sektor strategik termasuk perikanan moden, akuakultur, bioteknologi marin, logistik maritim dan pelancongan berasaskan alam semula jadi.
“Pendekatan ini selari dengan teras pemerkasaan ekonomi rakyat, keseimbangan wilayah, inovasi dan kelestarian alam sekitar yang menjadi tunjang SMJ 2.0,” katanya ketika merasmikan Majlis TERAJU Aspirasi Outreach Sabah 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Khamis.
Beliau berkata, pelan berkenaan diunjurkan mampu menjana pendapatan hasil laut sehingga RM3.25 bilion setahun menerusi sektor perikanan dan akuakultur, sekali gus membuka ruang pertumbuhan baharu kepada ekonomi negeri.
Katanya, sektor itu juga terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila menyumbang sebanyak RM9.18 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara sehingga suku ketiga 2025, dengan pengeluaran hasil laut melebihi 1.91 juta tan metrik bernilai kira-kira RM6.05 bilion.
Mengulas pencapaian pembangunan negeri, beliau berkata pelaksanaan SMJ 1.0 (2021–2025) berjaya meletakkan asas kukuh kepada pemulihan ekonomi Sabah serta meningkatkan kesejahteraan rakyat, walaupun berdepan ketidaktentuan global.
“Sepanjang tempoh itu, Sabah mencatat sejarah apabila kutipan hasil negeri hampir RM7 bilion buat pertama kali, dengan RM6.96 bilion pada 2022, RM6.97 bilion pada 2023 dan kekal kukuh dengan pungutan hasil sebanyak RM6.76 bilion pada 2025,” katanya.
Beliau berkata, prestasi itu turut disokong peningkatan KDNK negeri yang mencapai RM84.3 bilion pada 2024 berbanding RM77.8 bilion pada 2020, sekali gus menempatkan Sabah sebagai penyumbang ketujuh terbesar kepada ekonomi negara.
Katanya, unjuran KDNK bagi 2025 juga dijangka terus berkembang sekitar 1.5 peratus, mencerminkan momentum pertumbuhan ekonomi negeri yang kekal stabil.
Menurutnya, kejayaan SMJ 1.0 memberi keyakinan bahawa Sabah berada pada landasan tepat, seterusnya mendorong pelaksanaan SMJ 2.0 yang menuntut anjakan menyeluruh termasuk perubahan cara berfikir, bekerja dan mencipta nilai baharu untuk rakyat.
“Hala tuju ini juga diselaraskan dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri sehingga 2030,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata penganjuran program TERAJU Aspirasi Outreach Sabah 2026 membuktikan peranan penting Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sebagai pemudah cara dalam memperkasa pembangunan ekonomi Bumiputera di Sabah.
Beliau berkata, program outreach berkenaan bukan sahaja menyediakan akses kepada pembiayaan dan pembangunan kapasiti, malah membuka peluang jaringan perniagaan yang lebih luas kepada usahawan tempatan.
“Platform ini juga menjadi jambatan yang menghubungkan dasar kerajaan dengan pelaksanaan di peringkat akar umbi, sekali gus memastikan manfaat pembangunan dapat disampaikan secara lebih menyeluruh,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru usahawan Bumiputera di negeri ini agar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan, termasuk meneroka sektor baharu seperti Ekonomi Biru yang mempunyai potensi besar jika diterokai secara strategik.
