KOTA KINABALU: Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik, menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada kepimpinan Kerajaan Negeri untuk menangani isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah secara berhemah dan berlandaskan proses perundangan.
Beliau berkata, pihaknya menzahirkan kepercayaan penuh terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor serta barisan Kabinet Negeri dan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam memuktamadkan perkara itu dengan kebijaksanaan, ketegasan serta berpaksikan kepentingan rakyat negeri ini.
“Keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan arahan pembayaran 40 peratus hak Sabah perlu dilihat sebagai sebahagian daripada proses perundangan yang masih berjalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, keputusan yang bersifat prosedural itu tidak seharusnya disalah tafsir, sebaliknya perlu difahami dalam konteks undang-undang yang memberi ruang kepada tindakan lanjut dan rundingan berterusan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan semua pihak wajar bersikap matang dengan memberi peluang kepada Kerajaan Negeri untuk meneruskan rundingan serta langkah susulan secara teratur dan berhemah melalui saluran sah.
Yazid berkata, keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan negeri perlu terus diperkukuh, khususnya dalam usaha mempertahankan hak Sabah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, aspirasi rakyat yang mahukan penyelesaian adil dan berkekalan terhadap isu berkenaan perlu dijadikan keutamaan dalam setiap rundingan dan keputusan yang dibuat.
“Kita berdiri bersama kepimpinan negeri dalam memastikan hak Sabah terus diperjuangkan, maruah negeri dipertahankan dan masa depan rakyat sentiasa terbela,” katanya.
Beliau turut berharap semua pihak dapat mengelakkan polemik yang boleh menjejaskan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperjuangkan hak Sabah di peringkat Persekutuan.
Tegasnya, pendekatan berhemah dan berpandukan undang-undang adalah kunci bagi mencapai penyelesaian terbaik demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri.
