
LAHAD DATU : Polis menahan sepasang suami isteri yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran syabu menerusi dua serbuan berasingan di daerah ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Haji Dzulbaharin Haji Ismail berkata, operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu itu turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun di Kampung Sapadulang.
“Pemeriksaan mendapati suspek memiliki 0.17 gram syabu bernilai RM18.70. Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Jalan SMK Sains, Batu 8 dan menahan seorang lelaki berusia 39 tahun bersama isterinya yang berusia 34 tahun.
“Pemeriksaan menemukan 157.54 gram syabu dianggarkan bernilai lebih RM17,000 selain merampas sebuah kenderaan, televisyen, telefon bimbit, wang tunai serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pengedaran dadah,” katanya.
Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif methamphetamine dan amphetamine manakala isterinya negatif.
Menurutnya, semua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika disabitkan kesalahan. Kes turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) akta sama.
Beliau turut meminta orang ramai supaya terus bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dadah bagi memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara.
[8/2, 10:47 AM] Rizal Astro: HARI TERBUKA MPOB JUBLI PERAK DEKATKAN INDUSTRI SAWIT DENGAN MASYARAKAT
LAHAD DATU; 2 OGOS 2025 (Sabtu) – Sambutan Jubli Perak sempena 25 tahun penubuhan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) diraikan meriah melalui Hari Terbuka MPOB Stesen Penyelidikan Lahad Datu yang berlangsung hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Penyelidikan Biologi & Kelestarian MPOB,Dr. Meilina Ong Abdullah, yang turut melahirkan rasa syukur dan teruja dengan kehadiran masyarakat setempat yang memenuhi tapak program.
Menurut Dr. Meilina, MPOB yang ditubuhkan pada tahun 2000 kini menjadi agensi utama memacu kemajuan industri sawit negara, daripada penyelidikan dan pembangunan teknologi baharu hinggalah bimbingan kepada pekebun kecil di seluruh Malaysia.
“Tema Hari Terbuka MPOB ‘Sawit Untuk Semua’ membuktikan komitmen MPOB untuk memastikan industri sawit terus inklusif, mampan dan kekal sebagai penyumbang penting kepada ekonomi negara,”
“Selain itu, pelbagai aktiviti seperti Sawit Run, pameran, program interaktif dan pelancaran buku resipi Sawit Dalam Sajian,Legasi Rasa Malaysia memberi peluang kepada orang ramai mendekati industri sawit dengan lebih dekat,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut.
Beliau turut menegaskan cabaran masa depan industri sawit seperti perubahan iklim dan keperluan amalan lestari menuntut semua pihak berfikir ke hadapan serta berinovasi. MPOB, katanya, akan terus memimpin usaha memastikan industri sawit negara kekal produktif, bertanggungjawab dan memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh komuniti Lahad Datu atas sokongan berterusan terhadap MPOB dan industri sawit negara.