
LAHAD DATU: Cabaran Revolusi Industri 4.0 yang menuntut kepakaran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan memperkasakan pendidikan generasi muda sejak di bangku sekolah.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal berkata, antara bidang baharu yang kini semakin berkembang termasuk kejuruteraan cip dan teknologi dron yang dimanfaatkan dalam sektor pertanian, perniagaan dan logistik.
“Saya ucapkan tahniah kepada penganjur, terutama SMK Terusan, atas usaha yang baik ini. Kita mahu dedahkan anak-anak di sekolah menengah dan rendah bagaimana pendidikan STEM sangat penting untuk masa depan mereka.
“Hari ini kita lihat negara menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 yang memerlukan kepakaran modal insan bertaraf global. Itu tidak akan tercapai jika tidak dipupuk dari awal,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Pendidikan Kerjaya STEM dan TVET Peringkat Kebangsaan 2025 di SMK Terusan, di sini.
Menurutnya, program yang menghimpunkan penyertaan sekolah dari seluruh negara termasuk Pantai Timur Sabah itu memberi peluang pelajar mendekati dunia STEM dengan lebih praktikal, sejajar dengan tuntutan Revolusi Industri 4.0.
Beliau berharap inisiatif sebegini terus diperkasakan khususnya di Pantai Timur Sabah agar lebih ramai pelajar mendapat manfaat dalam membina masa depan negara.