
Semporna: Usaha Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah membuahkan hasil apabila berjaya menahan dua lelaki warga asing serta merampas syabu bernilai RM70,000 dalam satu serbuan di Kampung Halo, baru-baru ini.
Serbuan pada jam 6.40 petang, 28 Ogos lalu itu dilakukan hasil risikan dan pemantauan ke atas sebuah rumah yang dipercayai menjadi lokasi pengedaran dadah.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, pemeriksaan lanjut menemukan syabu seberat 1,019.93 gram.
“Kedua-dua suspek berusia 46 hingga 58 tahun ditahan bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, PPM sentiasa komited melindungi masyarakat daripada ancaman jenayah penyeludupan dan pengedaran dadah selain mengalu-alukan maklumat orang awam bagi membantu siasatan.