
TAWAU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Sri Tanjong sebulat suara bagi meletakkan calon pilihan rakyat untuk mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bahagian tersebut bersempena pilihan raya negeri akan datang.
Menurut jurucakapnya, Gan Chee Chan,
keputusan terbabit dicapai hasil daripada mesyuarat yang telah dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Gagasan Rakyat Sri Tanjong, semalam.
Jelasnya yang juga Timbalan Ketua Bahagian PGRS Sri Tanjong, hasil daripada mesyuarat tersebut juga menyatakan bahawa pihak bahagian mereka mempunyai 60 cawangan dan lebih daripada dua ribu ahli yang bersedia untuk digerakkan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
“Mesyuarat ini menekankan pentingnya calon yang diketengahkan adalah individu berintegriti, berwibawa, serta komited untuk membawa agenda pembangunan yang inklusif dan seimbang.
“Calon yang dipilih adalah dalam kalangan Ahli Parti Gagasan Rakyat, yang diyakini mampu mewakili suara rakyat secara berkesan.
“Gagasan Rakyat Sri Tanjong yakin bahawa calon ini berpotensi besar untuk menang dan menjadi wakil rakyat di kawasan ini,” katanya.
Menurut beliau, fokus utama calon pilihan rakyat ini adalah memperjuangkan isu-isu penting seperti kesejahteraan rakyat, pembangunan ekonomi tempatan, pendidikan, peluang pekerjaan, dan peningkatan infrastruktur asas di kawasan Sri Tanjong.
“Keputusan ini adalah hasil permuafakatan seluruh AJK Bahagian yang mahukan suara mereka benar-benar diwakili di Dewan Undangan Negeri Sabah. Ini adalah keputusan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat,” katanya.
Sehubungan itu jelas Gan, PGRS Sri Tanjong menyeru seluruh penduduk kawasan ini untuk bersatu hati dan memberikan sokongan padu kepada calon pilihan rakyat demi masa depan yang lebih baik untuk semua.
Menurut data semasa, komposisi pengundi di kawasan Sri Tanjong terdiri daripada 56 peratus pengundi Cina, 40 peratus pengundi Melayu, dan selebihnya adalah pengundi daripada kaum lain-lain.
Statistik ini diambil kira dalam pemilihan calon bagi memastikan wakil yang dipilih dapat memenuhi keperluan serta mewakili kepelbagaian komuniti di kawasan ini.
Deasoka