BONGAWAN: Tindakan Umno Kimanis yang cuba menyalahkan calon GRS, Tan Sri Anifah Aman dalam isu projek strategik, jelas tindakan terdesak bagi menutup kegagalan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin menunaikan janji pilihanraya sebelum ini.
Ketua Pemuda GRS, AK Jamaludin Pg Yassin berkata, walaupun projek Mini Stadium Kimanis dan Kolej Komuniti Kimanis diluluskan ketika Anifah sebagai Ahli Parlimen Kimanis sebelum ini, sewajarnya Mohamad meneruskan kesinambungannya.
Malah katanya, Mohamad sendiri ‘berjanji’ untuk tunaikan kedua-dua projek itu dalam manifesto BN semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis sebelum ini, hingga beliau diberi mandat sebagai Ahli Parlimen Kimanis.
Katanya, bukannya cuba meletakkan kegagalan itu di bahu Anifah yang telah berusaha hingga kedua-dua projek itu diluluskan sebelumnya, walaupun Mohamad cuba mengambil kredit selepas itu namun masih gagal untuk merealisasikannya.
“Mengapa kesinambungan tidak berlaku sejak 2019 selepas Mohamad menjadi Ahli Parlimen Kimanis, lebih-lebih lagi apabila beliau selepas itu menjadi Timbalan Menteri di persekutuan.
“Kalau projek Kolej Komuniti Kimanis dibatalkan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan persekutuan, mengapa permohonan ini tidak ‘dihidupkan’ semula selepas tahun 2020, ketika Mohamad sudah berada dalam kerajaan.
“Ditambah lagi beliau sebagai timbalan menteri persekutuan ketika itu, mengapa tidak diperjuangkan sehingga kolej ini diluluskan semula?..Rakyat menunggu, tetapi tiada apa-apa hasil hingga kini?.
“Ini bukan isu siapa menyalahkan siapa, tetapi gambaran bahawa tiada kesinambungan dan itulah realiti yang perlu Mohamad akui kerana hampir lapan tahun tanpa hasil konkrit,” katanya dalam satu kenyataan.
AK Jamaludin mengakui terdapat projek-projek kecil yang dilaksanakan Mohamad sebagai Ahli Parlimen Kimanis namun limpahannya tidak meluas dan tidak merangkumi sepenuhnya kampung-kampung lainnya.
Malah katanya, dakwaan pembangunan yang turut melibatkan Dun Membakut, sebenarnya lebih banyak dibawa penyandang kawasan itu yang juga calon GRS Membakut, Datuk Ariffin Arif.
Bagaimanapun daripada semua pembangunan didakwa Mohamad, Bongawan masih tetap ketinggalan dalam pelbagai aspek khususnya limpahan pembangunan yang mampu mengangkat kemajuan kawasan ini.
“Kita hargai adanya projek naiktaraf dan pembangunan kecil yang dibawa, tetapi takkan itu saja kemampuan Mohamad sebagai Ahli Parlimen Kimanis hampir dua penggal dan Timbalan Menteri Persekutuan?.
“Semua projek kecil dilaksana, namun projek strategik dijanjikan dari 2018 hingga kini belum direalisasikan hingga pembangunan Bongawan kekal ketinggalan dalam aspek O&G, insfrastruktur dan lojistik berbanding kawasan lainnya.
“Saya pasti saudara KP Umno (Dell) juga maklum tentang keperluan projek-projek ini selepas ‘melompat’ ke Warisan pada tahun 2018 lalu dan menjadi antara barisan kepimpinan Wira Warisan masa itu,” katanya.
Mengenai isu kedai lama terbakar, AK Jamaludin berkata, kenyataannya sebelum ini adalah tentang ketiadaan tindakan pembersihan sisa kedai lama itu hingga mencacatkan pemandangan Pekan Bongawan.
Katanya, beliau bukan meminta Mohamad membina insfrastruktur baharu kerana beliau amat maklum bangunan itu adalah hak persendirian, namun apa yang diminta, supaya sisa kebakaran itu dibersihkan.
“Kita maklum bangunan itu hak persendirian, tetapi takkan sisa kebakaran ini dibiarkan begitu saja tanpa ada pembersihan. Sekurang-kurangnya, Mohamad cari inisiatif untuk membersihkannya.
“Ini adalah perkara asas, kita cuma minta dibersihkan sisa kebakaran ini bukannya suruh rampas hak milik orang.Takkan hal sekecil ini itu pun tidak mampu buat,” tegasnya.
Daripada situasi itu katanya, rakyat dapat saksikan sendiri pemikiran seorang pemimpin yang tidak boleh menyelesaikan isu kecil namun diberi tanggungjawab membawa Malaysia untuk urusan luar negara yang lebih besar.
Rentetan masalah itu katanya menunjukkan Mohamad sentiasa perlukan bantuan untuk mengangkat kemampuan kepimpinannya khususnya semasa PRK Kimanis 2019 lalu dengan meminta bantuan Anifah.
AK Jamaludin berkata, bantuan itu diperlukan bagi memastikan kemenangan beliau sebagai calon BN menentang calon ‘gergasi’ Warisan pada masa itu yang akhirnya menyebelahi Mohamad.
“Ramai penyokong akar umbi BN masih ingat perkara ini dan tahu jasa Anifah yang telah bekerja keras berkempen bersama pemimpin lain yang akhirnya kemenangan memihak Mohamad,” tegasnya,
Ak Jamaludin menegaskan bahawa politik hari ini memerlukan kejujuran pemimpin dan rekod kerja yang jelas, bukan retorik kerana rakyat mahu keputusan, ketelusan dan prestasi.
Menurutnya, rakyat tahu siapa yang konsisten bekerja, siapa muncul hanya bila hampir pilihan raya, dan siapa yang betul-betul membawa pembaharuan dan pembangunan besar di Bongawan.
“Akhirnya, rakyat di Bongawan yang akan menilai siapa yang dapat bawa pembaharuan dan pembangunan lebih besar, bukan sekadar projek naiktaraf yang wakil rakyat pembangkang pun boleh lakukan,” katanya.
