TAMBUNAN : Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan satu kegiatan penyelewengan minyak sawit mentah menerusi serbuan di tepi Jalan Tambunan–Kota Kinabalu malam semalam.
Operasi dijalankan sekitar jam 10.30 malam hasil risikan Unit Risikan Marin selepas menerima maklumat awam mengenai aktiviti mencurigakan di kawasan berkenaan.
Dalam operasi itu, lima individu tempatan ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan berkenaan.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, pasukan turut merampas tiga lori tangki, dua kenderaan jenis Toyota Hilux serta anggaran 106,960 kilogram minyak sawit mentah yang dipercayai disimpan untuk tujuan penyelewengan.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM3,005,127.60,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes kini disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005 bagi tindakan lanjut.
Beliau menegaskan, Pasukan Polis Marin akan terus komited dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan dan penyelewengan hasil negara, khususnya di kawasan perairan serta kawasan strategik di Sabah.
“PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang. Kami akan terus komited membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya.
