
Lahad Datu: Dua lelaki ditahan polis selepas disyaki terlibat mencuri motosikal Yamaha Y15ZR milik seorang wanita berusia 28 tahun di kawasan parkir Perumahan Pekerja Ladang Sebrang, Jalan Silabukan, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Haji Dzulbaharin Haji Ismail berkata, tangkapan dibuat hasil risikan pada 3 Ogos lalu kira-kira jam 10.50 malam di Jalan Tengah Nipah, Bandar Lahad Datu.
“Suspek pertama berumur 29 tahun dan mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah, manakala suspek kedua merupakan warga asing berusia 36 tahun yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah tetapi gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Permohonan reman telah dibuat di Mahkamah Majistret Lahad Datu hari ini dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Deasoka