Optimis hadapi PRN Sabah

Optimis hadapi PRN Sabah

KIMANIS: UMNO Bahagian Kimanis optimis meneruskan momentum sedia ada dalam menghadapi pilihan raya negeri yang dijangka berlansung tidak lama lagi di Sabah.


Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin berkata, tradisi BN yang menyantuni kehendak rakyat dan pengundi di kawasan itu tanpa mengira parti serta latar belakang politik mampu menjadi penanda ukur kepada keupayaan parti itu di kawasan parlimen berkenaan.


Jelasnya meskipun dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di peringkat parlimen Kimanis iaitu DUN Bongawan dan DUN Membakut bukan lagi disandang oleh UMNO dan Barisan Nasional selepas PRU14, pihaknya kekal positif akan gerak kerja sedia ada.


“Dalam PRU yang lepas saya menang (jumlah pengundi) di kedua-dua DUN, saya menang di DUN Membakut dan DUN Bongawan, saya percaya pendekatan kita itu adalah khidmat kepada rakyat mendengar permasalahan rakyat.


“Bagi saya, mereka tidak sangat melihat parti apa, tetapi mereka melihat siapa wakil rakyat dan saya daripada BN tetapi pengundi saya ini daripada macam-macam parti, orang Warisan, orang GRS pun undi saya pada PRU yang lepas kerana apa, kerana servis kita.


“Saya menjelaskan kepada semua jentera-jentera kita kerja tanpa mengira parti, yang penting kita dapat mendengar permasalahan rakyat dan akhirnya kita dapat menyelesaikan sedikit sebanyak isu-isu dihadapi oleh rakyat tanpa mengira parti apa,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persediaan UMNO Bahagian Kimanis mendepani cabaran PRN Sabah yang dijangka berlansung tidak lama lagi.


Terdahulu, Mohamad pada masa sama meletakkan kepercayaan kepada pucuk pimpinan untuk penyusunan kerusi atau calon untuk bertanding di kedua-dua DUN berkenaan pada waktu yang sesuai.
Untuk rekod, Parlimen Kimanis mempunyai dua DUN yang terlibat dalam PRN Sabah akan datang iaitu DUN Bongawan yang diwakili oleh Dr Daud Yusof (WARISAN) dan Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif bagi DUN Membakut.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|