Kita fokus pembangunan modal insan, pendidikan: ADUN Sebatik

Kita fokus pembangunan modal insan, pendidikan: ADUN Sebatik

TAWAU: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) PH Plus terus memberi fokus kepada pembangunan modal insan bagi memastikan anak-anak negeri ini tidak ketinggalan dalam bidang pendidikan dan pekerjaan.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan A Gani Pg.Amir berkata, Hala Tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan selain sektor lain seperti pertanian, perindustrian dan pelancongan.

Katanya, pembangunan modal insan diberi fokus oleh Kerajaan Negeri kerana mahu memastikan anak-anak Sabah mendapat akses kepada pendidikan, agar mereka berilmu dan tidak ketinggalan dalam bidang pekerjaan.”Ini penting agar anak-anak kita dapat bersama-sama kerajaan memacu pembangunan negeri, meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Apresiasi Pelajar (MAKAP) 2023 dan Perasmian Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Umas-Umas di sini.

Hassan berkata, dalam sektor pendidikan, banyak inisiatif diperkenalkan oleh kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor khusus untuk membantu pelajar dalam keluarga dari golongan B40.Katanya, antara inisiatif itu ialah Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) dan Bantuan Ihsan Komputer 2.0 (BAIK)

Selain itu katanya, kerajaan negeri turut memperuntukkan Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS) dan menyediakan Anugerah Kecemerlangan  Pendidikan Sabah (AKSA) kepada pelajar-pelajar cemerlang yang mengharumkan nama Sabah sama ada di peringkat negeri, kebangsaan atau antarabangsa.

“Justeru ibu bapa perlu merebut peluang untuk mendapatkan bantuan-bantuan yang disediakan oleh kerajaan negeri demi kecemerlangan pendidikan anak-anak”, tegasnya.

Hassan berkata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan membantu anak-anak agar fokus dalam pelajaran dan aktiviti ko-kurikulum disekolah.

Beliau turut mengumumkan pemberian inisiatif khas sebanyak Rm3,000 kepada pelajar yang berjaya memperolehi 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024 dan kelulusan bagi membina dinding dewan terbuka SMK Umas-Umas.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|