Jaminan kualiti perkhidmatan perkukuh prestasi organisasi: Kasim

Jaminan kualiti perkhidmatan perkukuh prestasi organisasi: Kasim

Kota Kinabalu: Mendepani cabaran dalam memperkasa kualiti sistem penyampaian perkhidmatan dan kualiti pendidikan tinggi adalah merupakan salah satu elemen penting dalam memperkukuhkan prestasi organisasi.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, salah satu aspek penting yang perlu dititikberatkan adalah jaminan kualiti perkhidmatan dalam organisasi.  

Katanya ia melibatkan semua aspek interaksi pelanggan, dari komunikasi awal hingga kepada sokongan selepas perkhidmatan.  

“Memberikan perkhidmatan yang konsisten dan berkualiti tinggi adalah refleksi komitmen kita terhadap kecemerlangan dan kepuasan pelanggan.  

“Dalam dunia yang semakin kompetitif ini, keupayaan untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi bukan sahaja menjadi pembeza utama, tetapi juga elemen yang membina kepercayaan dan kepuasan pelanggan kita.

“Pembentukan kualiti dalam sesebuah organisasi ini haruslah bermula dengan kesedaran dan kebolehan organisasi sendiri untuk berubah dalam memastikan organisasi berada pada landasan yang memberi impak yang berkesan kepada proses perkhidmatan yang ditawarkan kepada komuniti dalam dan luar organisasi,” katanya.  

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Jaminan Kualiti 2024 anjuran UMS di sini, pada Selasa.   Tambah Kasim, organisasi perlu memahami dengan mendalam berkenaan kepentingan dalam memastikan kualiti perkhidmatan berada pada tahap yang tinggi kerana ini akan memastikan pelanggan berpuas hati dengan pengalaman mereka, yang seterusnya membina kesetiaan.  

“Perkhidmatan berkualiti dapat membantu dalam mengurangkan kesilapan, meningkatkan kecekapan, dan mengoptimumkan penggunaan sumber. Jika kita lihat, staf adalah merupakan tulang belakang kepada perkhidmatan kita.  

“Latihan dan pembangunan berterusan perlu diberikan kepada mereka bagi memastikan mereka mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk memberikan perkhidmatan yang cemerlang.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|