
Tuaran: Kerajaan Negeri telah meluluskan pelaburan bernilai RM11.5 bilion yang membabitkan 89 projek dan menjana sehingga 4,566 pekerjaan sejak pandemik COVID-19 sehingga tahun lalu.
Bagaimanapun, menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, ia tidak termasuk projek Green Steel bernilai RM19.6 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) yang ditandatangani pada November 2022.

“Dengan projek Green Steel ini dan pelaburan lain dalam proses pelaksanaan, Sabah akan menerima sejumlah RM33.4 bilion,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) di Shangri-La’s Rasa Ria Resort, di sini, hari ini.
Hajiji yang juga Pengerusi SEDIA berkata, daripada RM11.5 bilion itu, RM9.2 bilion adalah Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan RM2.3 bilion lagi adalah pelaburan domestik.
“72.9 peratus daripada pelaburan atau RM8.4 bilion adalah dalam sektor pembuatan, sektor utama terdiri daripada pertanian, perlombongan, komoditi dan perladangan (RM1.6b) dan sektor perkhidmatan (RM1.5b).
“Pelaburan ini adalah usaha terkumpul Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri, SEDIA dan agensi berkaitan lain,” katanya.
Tambahnya, kini SEDIA berada di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi secara langsung, beliau ingin semua permohonan dan pelaksanaan projek di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC) diselaraskan dengan lebih baik dengan garis masa yang ditetapkan dan semua prosedur dipatuhi.
Terdahulu, Hajiji berbuka puasa bersama ahli lembaga SEDIA serta 100 anak yatim dan pelajar dari empat rumah dan pusat Tahfiz di Tuaran iaitu HOME Tuaran, Maahad Tahfiz Assohabah, Tarbiyatun Nisa, dan Pusat Tahfiz Al-Quran Ash-Shabab Al-Mardhiyah di mana beliau turut menyampaikan sumbangan kepada mereka.
-Deasoka