
Papar: Sebanyak RM900 juta disediakan bagi mengatasi masalah sekolah daif di seluruh negara dalam Belanjawan 2023.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata jumlah itu adalah untuk 380 sekolah daif seperti disebut dalam pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu.
“Secara keseluruhan kita ada RM900 juta untuk semua sekolah, bukan Sabah dan Sarawak saja. Tapi kita akan tengok balik Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau ditemui selepas meninjau masalah bangunan tidak selamat dan ancaman banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Kinarut, di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.
Fadhlina berkata, sejak 2016 hingga ke hari ini, sebanyak 980 sekolah daif disenaraikan di seluruh negara.
Sementara itu, katanya Sabah adalah antara paling banyak sekolah daif dengan daerah Ranau merekodkan jumlah tertinggi iaitu 44 sekolah, manakala lapan sekolah daif dikenal pasti di daerah Papar.
Jelasnya, kebanyakan bangunan di sekolah daif terbabit berada pada skala enam dan tujuh yang bermaksud tidak selamat diduduki.
“Dalam kes bangunan tidak selamat diduduki ini, tindakan kita ialah memindahkan murid ke bangunan yang disediakan.
“Bangunan yang daif itu pula akan diselenggara tetapi bagi yang berada pada skala enam dan tujuh, bangunannya perlu diganti,” katanya.
Berdasarkan jawapan bertulisnya di Parlimen mengenai isu sekolah daif di Sabah baru-baru ini, KPM mengenal pasti sebanyak 289 sekolah daif di seluruh Sabah ketika ini dengan 64 daripadanya disahkan tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) iaitu berada pada skala tujuh.
-Deasoka