
Sandakan: Persatuan Wanita Progresif Sabah (WASA) sentiasa komited dalam memperjuangkan hak asasi kemanusiaan dalam memperkasa wanita menerusi pelbagai bidang.
Ia termasuk membela hak wanita dan kanak-kanak dengan menerapkan pengetahuan mengenai cara perlindungan diri.

Pengerusinya, DP Florence Datuk Paul Baklin, berkata sehubungan itu, pihaknya merancang untuk mengadakan kursus berkaitan hak-hak wanita dan kepentingan melindungi diri daripada menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan penderaan.
Katanya, ia juga akan melibatkan perkahwinan bawah umur dan lain-lain kes yang membabitkan kebajikan wanita dan kanak-kanak.
“Kita juga bercadang untuk mewujudkan skuad waja di bandar, luar bandar dan juga di tempat kerja.
“Skuad ini juga disarankan untuk diwujudkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita semasa perjumpaan dengan jabatan itu baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi pertemuan dengan jawatankuasa WASA di Sandakan, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi, Sante Villiamon, Penasihat Ekonomi, Yap Pien Chie, Penasihat Undang-Undangnya, Roweina Rasid dan yang lain.
Florence berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 1,000 penyertaan wanita dari lima kawasan di Sandakan, Beluran, Kinabatangan, Batu Sapi dan Libaran.
Katanya, skuad ini akan menerangkan akan hak-hak wanita dan kanak-kanak selain peluang perniagaan yang boleh diceburi wanita supaya dapat memperkasa diri mereka.
“Sebagai permulaan juga, WASA turut merancang untuk mengadakan seminar berkenaan hak-hak wanita yang dijangka diadakan di Beluran dan Telupid,” jelasnya.
WASA ditubuhkan pada 22 Januari tahun lalu sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak berasaskan keuntungan dan disertai ahli-ahli yang terdiri dalam kalangan professional, perundangan, usahawan dan bidang yang lain.
Dalam pada itu, Duta WASA merangkap bendahari pergerakan itu yang juga Mrs Borneo International Global 2017, Lysabeth Karen Augustine, berkata, pihaknya menyokong usaha WASA dalam memperkasa wanita dalam pelbagai bidang dan mengetahui hak-hak mereka.
Katanya, mereka akan memupuk kesedaran menerusi laman sosial rasmi dari semasa ke masa berkenaan aktiviti persatuan itu.
-Deasoka