
Kota Kinabalu: Parti Warisan (WARISAN) tidak berputus asa dengan kekalahan yang dihadapi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya bertekad untuk menyusun semula strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, keputusan pilihan raya itu tidak seperti yang diharapkan selain masa tidak menyebelahi WARISAN.
“Namun ini bukan masanya untuk kita berputus asa. Kini adalah masanya untuk kita menyusun semula strategi dan mengorak langkah bergerak maju ke hadapan sebagai persediaan menghadapi PRU-15.
“Perjuangan kita ke arah Malaysia yang lebih baik mesti diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau dalam pada itu turut menzahirkan penghargaan kepada jentera yang terlibat dalam PRN itu.
“Paling penting, saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang berkempen tanpa mengenal penat lelah dan tanpa jemu untuk WARISAN.
“Saya juga berterima kasih kepada rakyat Johor kerana sudi menerima kedatangan kami,,” katanya.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu turut merakamkan ucapan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan yang diperoleh dalam PRN Johor.
WARISAN yang baru saja melebarkan sayapnya ke Semenanjung, pertama kali menyertai pilihan raya dengan meletakkan enam calon daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Bagaimanapun, pada hari pengundian semalam, WARISAN gagal dalam cubaannya untuk memenangi sebarang kerusi daripada enam kawasan yang ditandinginya.
-Deasoka