UMNO Kalabakan fokus bantu rakyat

UMNO Kalabakan fokus bantu rakyat

Tawau: UMNO Kalabakan tetap mengutamakan kebajikan rakyat dan membantu menyelesaikan masalah mereka walaupun giat membuat persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketuanya, Andi Muhammad Suryady Bandy, berkata usaha untuk membantu rakyat tetap menjadi keutamaan sambil merangka strategi bagi menghadapi PRU-15 akan datang.

Beliau berkata, pemimpin perlu sentiasa bersama-sama rakyat dalam menghadapi kemelut ekonomi terutama dengan kenaikan kadar inflasi dan harga barang.

“Amanah yang dipikul sebagai pemimpin harus dilakukan dengan sebaiknya dan perlu kerja keras supaya setiap rakyat mendapat pembelaan,” katanya ketika ditemui media pada Hari Potensi KEMAS, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata, jentera UMNO Kalabakan sentiasa bersedia bagi menghadapi PRU-15.

Katanya, UMNO Sabah juga akan mengadakan sesi turun padang di seluruh negeri untuk berjumpa rakyat dan melihat persediaan jentera parti.

“UMNO Sabah akan pergi ke semua enam zon di negeri ini dan ia akan dimulakan dalam jangka masa terdekat selewat-lewatnya bulan depan,” katanya.

Dalam pada itu, Suryady yakin hubungan Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) sentiasa utuh bagi mengekalkan kedudukan dalam memimpin kerajaan negeri.

Katanya, ketiadaan BN dalam mesyuarat GRS baru-baru ini adalah wajar, kerana ia hanya melibatkan gabungan dalam parti itu sahaja dan tidak timbul sebarang isu mengenainya.

Jelasnya, beliau yakin, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan pemimpin utama negeri akan mempertahankan kerajaan negeri sedia ada seperti mandat diberi rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|