
Kota Kinabalu: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan terus bekerjasama dalam meningkatkan tahap keselamatan di perairan negeri ini.
Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Sazalee Shoib berkata, dalam usaha menjaga perairan Sabah, TLDM dan beberapa organisasi terlibat dalam menjaga kedaulatan perairan di negeri ini.

Katanya, ESSCOM juga menjadi antara agensi yang bekerjasama dengan TLDM dalam memastikan keselamatan di beberapa perairan dan kawasan yang terlibat.
“Pada masa yang sama, TLDM turut terlibat dalam operasi bersama pihak ESSCOM yang mana markas angkatan bersama di bawah Pasukan Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) yang berada di Tawau turut bertanggungjawab menjaga kawasan-kawasan perairan ini.

“Bermakna dengan adanya kolaborasi ini kami percaya keselamatan perairan Sabah terpelihara daripada pencerobohan,” katanya selepas kunjungan hormat terhadap Yang DiPertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, semalam.
Turut hadir Asisten Ketua Staf Peperangan (AKS N5) Markas Wilayah Laut 2, Kepten Mohamad Hasli Abu Hassan TLDM.
Sazalee berkata, kunjungan berkenaan bertujuan untuk memaklumkan kepada Tun Juhar mengenai pelantikan beliau sebagai Panglima Wilayah Laut 2, Pangkalan TLDM Sandakan yang baharu berkuatkuasa pada 13 Mei yang lalu.
-Deasoka