
Tawau: Kira-kira tiga peratus pegawai dan anggota polis di Sabah dikesan menanggung beban hutang hingga 60 peratus daripada gaji mereka.
Berikutan itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata pegawai dan anggota terbabit akan diberikan kaunseling mengenai pengurusan kewangan.
Katanya, langkah itu adalah antara usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu pegawai dan anggotanya menangani isu kewangan agar tidak menjejaskan kehidupan mereka.
“Berdasarkan laporan yang diterima, kes berkenaan tidaklah terlalu membimbangkan kerana hanya tiga peratus sahaja yang dikesan dan sudah dipanggil setakat ini.
“Namun, sekiranya kes ini tidak dibendung dari awal, sudah pasti ia akan mempengaruhi prestasi kerja mereka,” katanya ditemui pada majlis serah tugas Ketua Polis Daerah Tawau dan Pengerusi PERKEP IPD Tawau, di sini, semalam.
Jauteh berkata, IPK Sabah akan meneliti tahap keberhutangan pegawai dan anggota terlebih dahulu sebelum meluluskan permohonan pinjaman mereka.
Apa yang penting, katanya semua warga PDRM Sabah bijak mengurus kewangan mereka supaya dapat menjalani kehidupan yang lebih tenang.
Jelasnya, IPK Sabah mengambil berat soal perancangan ekonomi setiap pegawai dan anggota PDRM supaya mereka tidak terbeban dan menanggung pelbagai hutang.
“Bagaimanapun, bagi mereka yang berhutang disebabkan pembelian aset seperti rumah, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) ataupun potongan Tabung Haji tidak terlibat dalam kes ini,” katanya.
-Deasoka