
Beluran: Tiga mangsa termasuk seorang kanak-kanak yang dikhuatiri tersesat selepas keluar mencari lokan di muara sungai di Kampung Cahaya Baru, di sini, ditemui selamat lima kilometer dari lokasi asal, malam tadi.
Semua ketiga-tiga mangsa lelaki berusia lingkungan 12 hingga 64 tahun ditemui selamat kira-kira jam 9 malam tanpa sebarang kecederaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.05 malam.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama jentera Fire Response Vehicle (FRV) dikerah ke lokasi kejadian.
“Mengikut laporan awal, ketiga-tiga mangsa dikatakan keluar mencari lokan di kawasan berkenaan seawal jam 8 pagi namun tidak pulang ke rumah sehingga malam.
“Berdasarkan maklumat, pasukan bomba terus melancarkan operasi pencarian di sekitar kawasan darat dan pesisir paya bakau dengan menggunakan sebuah bot milik penduduk kampung,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, semua mangsa akhirnya berjaya ditemui kira-kira lima kilometer daripada lokasi awal mangsa keluar mencari lokan.
Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.30 malam.
-Deasoka