Tabika KEMAS perlukan perhatian kerajaan

Tabika KEMAS perlukan perhatian kerajaan

Tawau: Kerajaan perlu memberi perhatian terhadap pembangunan Tabika KEMAS bagi mengatasi kekurangan kemudahan pembelajaran yang dihadapi ketika ini.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, banyak pusat Tabika KEMAS khususnya di Parlimen Kalabakan tidak mempunyai kemudahan pembelajaran yang lengkap.

Andi Suryady menemui peserta Hari Potensi KEMAS di Kompleks Sukan Tawau.

Beliau berkata, infrastruktur dan keadaan Tabika KEMAS di daerah ini yang ada antaranya sudah usang, memerlukan tempat baharu yang lebih selesa untuk aktiviti pembelajaran.

“Sekiranya tiada langkah bantuan yang diambil, sudah pasti menyukarkan proses pengajaran dan pembelajaran modal insan negara ini.

“Justeru, kerajaan Pusat dan negeri perlu memberi perhatian serta segera mengeluarkan peruntukan untuk menyediakan prasarana Tabika KEMAS yang baik,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata demikian ketika merasmikan Hari Potensi KEMAS peringkat Parlimen Kalabakan, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah (Pendidikan Awal Kanak-Kanak) KEMAS Sabah, Ruran Banlang dan Pegawai KEMAS Tawau, Mohamad Yusli Nassir.

Sementara itu, Suryady berkata, Hari Potensi KEMAS yang membabitkan aktiviti sukan dapat memupuk semangat juang bermula seawal peringkat kanak-kanak lagi.

“Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) bersedia untuk membantu Tabika KEMAS bagi melaksanakan aktiviti yang melibatkan sukan.

“KBSS akan bekerjasama kepada mana-mana agensi dan jabatan bagi memperkasakan lagi sektor sukan di negeri ini,” katanya.

Katanya, Hari Potensi KEMAS juga diharapkan dapat merapatkan lagi hubungan di antara ibu bapa dan guru-guru.

Seramai 1,050 murid daripada 54 Tabika KEMAS di Parlimen Kalabakan menyertai Hari Potensi KEMAS yang membabitkan enam acara sukan di Kompleks Sukan Tawau, di sini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|