
Pitas: Persatuan Rungus Pitas Sabah (PISAAN) menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak polis menyiasat serta mengambil tindakan terhadap pengguna Facebook yang membuat hantaran berbaur perkauman.
Presiden PISAAN, Richard Mazagi dalam satu kenyataan media hari ini, berkata hantaran Facebook yang tular pada awal minggu ini adalah tidak bertanggungjawab dan menimbulkan keresahan kaum terutamanya etnik orang asal di negeri ini.
“Saya menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pengguna Facebook ini yang mengaibkan banyak etnik di Sabah, yang mana hantaran dan komen beliau dalam media sosial menimbulkan kemarahan ramai pihak.
“Kenyataan berbaur perkauman di media sosial perlulah diambil tindakan agar tidak menjejaskan keharmonian negeri kita yang tercinta ini,” katanya.
Ia berkaitan satu hantaran di Facebook yang berbaur perkauman dan penghinaan terhadap masyarakat Kadazandusun, Murut dan Rungus dimuat naik dalam media sosial berkenaan, baru-baru ini.
Richard yang juga Pengerusi Gabungan Persatuan Etnik-Etnik Pitas berkata pihak berkuasa perlu menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku agar dapat dijadikan pengajaran kepada semua pihak.
Walaupun pengguna Facebook berkenaan tidak dapat dikenal pasti pemilik sebenarnya, Richard percaya pihak berkuasa mempunyai kepakaran untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya.
-Deasoka