
Tawau: Walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) sudah melakukan pelbagai langkah, masih ramai ibu bapa di Sabah belum membawa anak mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata antara langkah yang diambil ialah bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk menjadikan sekolah sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) namun ibu bapa masih enggan membawa anak untuk menerima vaksin.
“Kita sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan sebab selain daripada PPV awam, kita juga buat vaksinasi di sekolah maknanya sekolah itu jadi PPV.
“Dari segi bekalan vaksin tiada masalah, sekarang ini keengganan ibu bapa untuk bagi kebenaran kepada anak mereka. Jadi program penerangan kita teruskan tetapi macam ada mentor blok di mana ibu bapa tak nak bagi kebenaran juga.
“Kita bawa vaksinasi tu sampai peringkat sekolah, maknanya kita buat PPV di sekolah tapi pada hari vaksinasi mereka tak nak datang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Mass Cataract Surgery Initiative (MCSI) 2022, di sini, hari ini.
Katanya, ibu bapa harus memahami bahawa ramai kanak-kanak kini dijangkiti Covid-19 dan untuk keselamatan mereka ibu bapa perlu menghantar anak untuk menerima vaksin sebelum pembukaan sekolah.
“Saya merayu kepada ibu bapa nanti kita akan buka sekolah semula dan walaupun kes-kes dalam kalangan kanak-kanak tidaklah tinggi macam kes orang dewasa tetapi mereka boleh dijangkiti dengan Covid-19 dan sekarang ini semakin ramai kanak-kanak dijangkiti dan dimasukkan ke hospital disebabkan mengalami kesan seperti MISC dan sebagainya yang membawa kepada kemudaratan jangka masa panjang.
“Kita sudah mulakan PICKids sebulan lebih dan kalau ada ibu bapa yang nak tunggu dan lihat, tak payah tunggu lagi, tak payah lihat lagi tapi bawa anak untuk disuntik sebab kalau nak tunggu dan lihat sudah sebulan tidak ada apa-apa masalah,” katanya.
-Deasoka