
Kota Kinabalu: Sambutan Hari Kebangsaan 2022 peringkat negeri Sabah berlangsung meriah walaupun diadakan secara sederhana di Padang Merdeka, di sini, hari ini.
Meskipun tiada perarakan besar-besaran seperti yang biasa disaksikan sebelum pandemik Covid-19, acara berunsur patriotik itu tetap menarik kehadiran orang ramai bermula seawal jam 7 pagi tadi.

Orang ramai kelihatan berkumpul di sekeliling Padang Merdeka untuk menyaksikan perarakan masuk kontinjen perbarisan dan persembahan patriotik yang mengisi acara sambutan kali ini.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Juhar Mahiruddin hadir menerima tabik hormat perbarisan dan memeriksa kawalan kehormat serta menyaksikan sambutan.

Hadir sama isteri beliau, Toh Puan Norlidah RM Jasni; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag serta Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.
Sebanyak 86 kontinjen pelbagai agensi, termasuk pasukan beruniform, jabatan dan agensi kerajaan negeri serta persekutuan mengambil bahagian dalam acara perbarisan kali ini.

Sambutan yang julung kali diadakan selepas negara diancam pandemik Covid-19 itu buat pertama kali juga memberikan anugerah kepada belia Sabah yang berjaya mengharumkan nama Sabah dan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Anugerah berkenaan diberikan kepada pelajar Kolej Vokasional Keningau, Aleysha Asa, 20, dari Nabawan yang menjadi wakil tunggal Malaysia bagi merebut Anugerah Global Student Prize yang disertai 50 pelajar dari seluruh dunia, baru-baru ini.
Anugerah pelajar paling berprestij di dunia anjuran Chegg.org yang berpusat di Amerika Syarikat itu diberikan berdasarkan pencapaian dan sumbangan dalam bidang inovasi, STEM dan hackathon.
-Deasoka