
Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah menetapkan 80 peratus kekosongan kerja yang diwujudkan menerusi pembukaan kilang atau industri oleh pelabur di negeri ini dikhususkan untuk penduduk tempatan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia adalah polisi kerajaan negeri dalam memastikan rakyat tempatan diberi keutamaan untuk mengisi kekosongan kerja yang diwujudkan pelabur di negeri ini.

“Polisi kerajaan negeri menggariskan 80 peratus tenaga kerja hendaklah dikhususkan kepada penduduk tempatan negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan sempena lawatan kerja di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri, Datuk Dr Joachim Gunsalam; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Menteri Kewangan II negeri, Datuk Seri Masidi Manjun dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.

Ketika lawatan kerja berkenaan, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri turut meninjau projek kilang pembuatan kerajang tembaga SK Nexilis dari Korea Selatan yang membabitkan pelaburan bernilai RM4.2 bilion.
Projek berkenaan yang dibangunkan di kawasan seluas 100 ekar dijangka siap pada akhir tahun depan dengan sebanyak 400 peluang pekerjaan dijangka disediakan apabila ia mula beroperasi.

Hajiji berkata, kilang kerajang tembaga berkenaan adalah antara projek di bawah inisiatif pelaburan Sabah Maju Jaya (SMJ) oleh kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Setakat ini, pencapaian projek itu adalah sebanyak 10 peratus. Kilang ini dijangka siap pembinaanya pada akhir tahun 2023. SK Nexilis akan menyediakan lebih 400 peluang pekerjaan apabila kilang itu beroperasi kelak.
“Pelaburan ini akan memberi impak yang positif kepada sosio ekonomi negeri Sabah khususnya dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, logistik dan rantaian yang berkaitan,” katanya.
SK Nexilis menandatangani Mememorandum Persefahaman (MoU) bersama KKIP Sdn Bhd pada 23 Mac 2021 berhubung pembinaan kilang berkenaan yang dimulakan pada 28 Julai 2021.
Hajiji berkata, walaupun berdepan dengan pandemik Covid-19, namun ia bukan penghalang kepada kerajaan negeri untuk merealisasikan inisiatif pelaburan itu.
Terdahulu, Hajiji menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Sewaan (Lease Agreement) di antara KKIP Sdn Bhd dan SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd, selain melawat cadangan tapak kilang pembuatan kaca solar juga di KKIP.
Katanya, syarikat berkenaan melabur RM2 bilion dalam tiga komponen iaitu perlombongan pasir silika, pembinaan kilang pemprosesan pasir silika dan kilang pembuatan kaca ‘photovoltaic’.
SBH Kibing akan menyewa tanah seluas 130.4 ekar selama tempoh 30 tahun bagi pembinaan kilangnya yang dijangka dapat menawarkan sebanyak 1,800 peluang pekerjaan.
Dalam pada itu, Hajiji turut melawat galeri jualan v21 Residence’s iaitu projek perumahan di KKIP yang membabitkan pembinaan lebih 6,000 unit apartment mampu milik dan komersial.
Fasa 1 projek berkenaan yang membabitkan pembinaan sebanyak 1,121 unit kediaman dijangka siap pada 2025.
-Deasoka