
Kota Kinabalu: Anggota tentera di Kem Lok Kawi, di sini akan menikmati kemudahan perumahan yang lebih selesa dengan siapnya projek kuarters tambahan bernilai RM188 juta yang dilaksanakan di kem berkenaan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata projek itu yang membabitkan pembinaan sebanyak 513 unit rumah beserta bangunan sokongan dan kerja infrastruktur dijadual siap dalam masa tiga tahun.
Beliau berkata, pelaksanaan projek itu sejajar komitmen kerajaan untuk memperkasakan lagi usaha membela kebajikan anggota, veteran dan ahli keluarga mereka dari sudut perumahan, selain perkhidmatan kesihatan.
“Apabila siap kelak, anggota tentera di Kem Lok Kawi akan dapat menikmati rumah yang lebih selesa untuk diduduki bersama keluarga,” katanya selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Projek Pembinaan Rumah Kuarters Angkatan Tentera Tambahan Kelas Kem Lok Kawi, di sini, hari ini.
Arthur dalam pada itu mengingatkan pihak kontraktor agar mematuhi syarat yang termaktub dalam kontrak dan memenuhi ekspektasi pelanggan bagi pelaksanaan projek yang membabitkan fasiliti awam demi kepentingan rakyat.
“Justeru, pelaksanaan projek wajib mematuhi spesifikasi dan kriteria yang ditetapkan agar projek yang diserahkan nanti berkualiti, mengikut tempoh masa dan kos yang ditetapkan,” katanya.
Jelasnya, pencapaian Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) mencerminkan pengiktirafan jerajaan kepada sektor pembinaan sebagai antara sektor penting yang menjadi teras pemulihan ekonomi negara Pasca Covid-19.
Katanya, setakat bulan ini KKR mengeluarkan 137 SST bernilai RM4.6 bilion, sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan dalam Indeks Pencapaian Utama (KPI) Aspirasi Keluarga Malaysia.
Bagi 2021 pula, katanya sebanyak 392 SST dikeluarkan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM18.6 bilion,” katanya.
“SST yang dikeluarkan adalah penting dalam kita merancakkan ekonomi negara terutamanya ketika kita bersama-sama berusaha memulihkan ekonomi negara.
“Kitaran ekonomi dalam industri pembinaan akan memberikan nilai penggandaan yang banyak kepada ekonomi negara dan seterusnya memberikan manfaat kepada Keluarga Malaysia,” katanya.
-Deasoka