
Semporna: Seorang remaja maut selepas kepalanya tersangkut pada enjin bot pam dalam kejadian di Kampung Panji, berhampiran Hospital Semporna, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, lelaki berusia 18 tahun terbabit dikatakan tersekat pada enjin bot apabila cuba menghidupkan enjin berkenaan ketika keluar menangkap ikan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.40 pagi.
Katanya, sepasukan 11 anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dan bot kevlar dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di kampung berkenaan, pasukan bomba terpaksa berjalan sejauh satu kilometer untuk ke lokasi kejadian berikutan ketiadaan laluan bot.
“Mangsa kemudiannya didapati sudah dikeluarkan dari bot berkenaan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan maklumat ahli keluarga mangsa, kejadian dipercayai berpunca daripada lengan jaket mangsa yang terlilit pada ‘shaft’ penyambung enjin bot pam ketika sedang bergerak di laut.
Katanya, kejadian itu menyebabkan tangannya tertarik lalu terjatuh, manakala rambut dan kepala mangsa juga tersangkut pada ‘shaft’ penyambung berkenaan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian sebelum dihantar ke hospital untuk tindakan selanjutnya.
“Pasukan Bomba kemudian membuat pemeriksaan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain dan operasi ditamatkan pada jam 12.19 tengah hari,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
-Deasoka