
Pasir Gudang (Johor): Rakyat Sabah yang menetap di Johor dan berdaftar sebagai pengundi di negeri itu diingatkan supaya turun menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata meskipun berstatus pengundi minoriti, rakyat Sabah yang mengundi di negeri itu boleh menjadi penentu kepada kerajaan baharu negeri berkenaan.

Beliau turut meluahkan harapan agar rakyat Sabah di negeri itu memberikan sokongan kepada calon BN dan tidak terpedaya dengan dakyah pembangkang termasuk Parti Warisan (WARISAN) yang turut bertanding di enam kerusi pada PRN berkenaan.
“Meskipun kita sebagai pengundi minoriti namun kita boleh menentukan kemenangan calon BN yang bertanding pada PRN kali ini,” katanya selepas perjumpaan dengan ketua masyarakat dan pengundi dari Sabah yang berada di Johor, dekat sini, semalam.
Ramai rakyat Sabah bekerja dan menetap di Johor termasuk berdaftar sebagai pemilih di negeri itu, khususnya di kawasan Parlimen Pasir Gudang.
Sementara itu, Bung Moktar mengingatkan pengundi berasal dari Sabah di Johor supaya bijak membuat pilihan dan tidak dibayangi sentimen kenegerian dalam memberikan sokongan, terutama dengan kehadiran WARISAN sebagai parti dari Sabah yang turut bertanding pada PRN itu.
“Saya tegaskan PRN kali ini adalah PRN untuk memilih kerajaan negeri Johor, jika ditakdirkanpun WARISAN memenangi beberapa kerusi yang ditandingi, ianya tidak mampu membentuk kerajaan negeri,” katanya.
Jelasnya, kenyataan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa penyertaan parti itu pada PRN Johor sebagai usaha ke arah menubuhkan kerajaan Malaysia adalah tidak munsabah kerana ia bukan Pilihan Raya Umum (PRU) yang menentukan perubahan untuk kerajaan Pusat.
Katanya, PRN itu untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil seperti dinikmati rakyat ketika pentadbiran BN sebelum dengan keadaan ekonomi yang lebih baik dan wujud peluang pekerjaan berterusan termasuk kepada rakyat Sabah yang bekerja di Johor.
“Bagaimana rakyat Sabah yang boleh mengundi di Johor memilih sebuah parti walaupun asalnya dari Sabah jika di negeri sendiripun parti terbabit kucar kacir apabila ramai dalam kalangan ahli dan pemimpin kanan parti meninggalkan perjuangan bersama WARISAN.
“BN yang memerintah Johor kerajaan tidak meminggirkan kepentingan rakyat Sabah yang tinggal dan bekerja. Contohnya, melalui Ahli Parlimen Pasir Gudang, diwujudkan Pasar Maufakat Sabah bagi memberikan peluang penduduk Sabah yang ada di sini menjalankan kegiatan perniagaan dengan memasarkan produk tempatan terutamanya dari Sabah,” katanya.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata BN memberikan tawaran terbaik demi kestabilan dan masa depan rakyat Johor termasuk rakyat Sabah yang bermastautin, bekerja dan mengundi di negeri itu pada PRN kali ini.
-Deasoka