
Pontian (Johor): Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah persediaan untuk Parti Warisan (WARISAN) berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ia adalah langkah persediaan untuk WARISAN menawan Putrajaya menerusi PRU-15 yang akan tiba tidak lama lagi.
“Kita tidak bertanding di Melaka, di Sarawak tetapi kali ini kita kena melihat PRU-15 yang hampir tiba di negara kita, jadi kita kena buat persediaan untuk membolehkan supaya WARISAN meletakkan satu perjuangan yang mempunyai persiapan untuk menghadapi PRU-15.
“Maka kita mulakan dengan negeri Johor dan kita yakin bahawa ini merupakan satu kawasan yang membolehkan kita membuat penawaran kerana kita mempunyai calon-calon yang cukup menarik, berkebolehan dan mempunyai pengalaman yang kita boleh tawarkan kepada pengundi di Johor,” katanya dalam sidang akhbar di sini, malam tadi.
Tambahnya lagi, beliau yakin dengan potensi daripada enam calon yang dikemukakan WARISAN dalam PRN Johor kali ini akan mendapat sokongan daripada pengundi.
“Saya boleh katakan kita meletakkan cabaran yang cukup baik sama ada untuk Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), dan parti-parti lain yang turut bertanding di kawasan itu.
“Tetapi bukan mudah kita kena kerja keras supaya memastikan kita dapat mendampingi seramai mungkin pengundi. Kita kena pastikan kena mencapai sekurang-kurangnya 70 peratus daripada 35,000 pengundi di Pekan Nanas ini kita dekati.
“Sebab itu saya nasihatkan kepada calon supaya jumpa pengundi nyatakan siapa calon dan apa perjuangan kita, kita edarkan risalah ke mana kita nak bawa negara dan Johor. Ini satu perjuangan yang kita katakan bahawa persediaan kita bukan hanya Johor tetapi untuk PRU-15,” katanya.
Sebelum itu, bekas Ketua Menteri Sabah itu mendakwa siri PRN membabitkan beberapa negeri yang dilakukan adalah taktik pihak pemerintah mendapatkan solidariti di peringkat negeri bagi menghadapi PRU-15.
“Saya yakin rakyat di negara ini sedar dan tahu apa sebenarnya tujuan dan matlamat pihak mereka membubarkan dari satu negeri ke satu negeri yang menelan perbelanjaan jutaan ringgit untuk mengadakan pilihan raya.
“Tak tahu selepas Johor ini, mungkin Perak atau Kedah. Kalau sebenarnya tujuan mereka nak menstabilkan kerajaan, bubarlah Parlimen sekali untuk PRU-15.
“Kenapa bubar peringkat negeri, perbelanjaan jauh lebih besar digunakan untuk mengurus tadbir PRU tetapi ditokok tambah sehingga beberapa negeri dan ini bukan hanya menjejaskan kewangan negara, kesihatan rakyat dan juga urusan pentadbiran negara terbantut,” katanya.
-Deasoka