
Skudai (Johor): Pengundi muda, khususnya berumur 18 tahun yang pertama kali mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu memanfaatkan peluang untuk membabitkan diri dalam proses demokrasi melalui pilihan raya berkenaan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ruang yang diberikan melalui Undi-18 membolehkan lebih ramai golongan muda terlibat aktif dalam membuat keputusan berkaitan masa depan negara dan menjadi pemimpin sama ada di peringkat persekutuan atau negeri.
Katanya, walaupun ada pihak yang ragu-ragu terhadap kemampuan golongan muda tetapi peluang yang diberikan dilihat sebagai jalan terbaik untuk negara melahirkan bakal pemimpin pelapis yang berkaliber pada masa depan.

“Ini satu tanggungjawab untuk anak muda, satu undi boleh mengubah masa depan negara jadi tunaikanlah tanggungjawab dengan keluar mengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah Anak-Anak Borneo yang disertai warga Sabah dan Sarawak yang berkerja di Johor di padang Taman Ungku Tun Aminah Skudai, dekat sini, semalam.
Hadir sama Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak; bekas ADUN Pitas, Datuk Bolkiah Ismail dan Bekas Ketua Pemuda UMNO Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan.
Difahamkan, kira-kira 30 peratus atau 175,000 daripada 750,000 pengundi baharu di Johor adalah mereka yang berumur antara 18 tahun hingga 20 tahun.
Sementara itu, Bung Moktar, berkata walaupun memiliki kebebasan membuat pilihan, pengundi berumur 18 tahun juga perlu bijak membuat pilihan parti dan calon yang berwibawa untuk membawa suara mereka ke arah membentuk sebuah kerajaan yang stabil.
Katanya, golongan muda juga diberi peluang menjadi calon untuk membawa idea generasi baharu dalam mencorakkan dasar kerajaan jika berjaya menjadi wakil rakyat.
“Gabungan intelek muda dan pengalaman golongan tua sudah pastilah mampu membawa Malaysia ke arah yang lebih baik,” katanya.
Bung Moktar menambah, manifestso Barisan Nasional (BN) untuk PRN Johor yang bertemakan Ikhtiar BN Johor untuk kestabilan masa depan menggariskan tidak kurang lima perkara untuk golongan muda.
Katanya, ia berkaitan soal pendidikan, kemahiran, pekerjaan, perniagaan dan perumahan yang seharusnya menjadi asas untuk golongan berkenaan menyokong BN pada PRN kali ini.
Dalam perkembangan lain, Pengerusi Penyelaras Pertandingan Bola Sepak berkenaan, Jamawi Jaafar, berkata penganjuran kejohanan itu berjaya mengumpul anak-anak muda dari Sabah dan Sarawak yang bekerja di Johor dengan 65 peratus daripadanya berdaftar sebagai pemilih di Parlimen Johor Baharu, Tebrau, Skudai dan Pasir Gudang.
“Kejohanan ini dapat mengumpul anak-anak muda Sabah termasuk Sarawak yang berada di sini kerana bekerja yang mana selain untuk aktiviti riadah, ini peluang kita menemui mereka dan menyampaikan mesej kebaikan yang dibawa oleh BN pada PRN kali ini,” katanya.
Sebanyak 38 pasukan menyertai kejohanan itu dengan lebih 450 orang anak muda Sabah dan Sarawak yang berada di sekitar Johor memgambil bahagian.
-Deasoka