
Johor Bahru: Barisan Nasional (BN) dan UMNO sudah bersedia menggalas amanah dan tugas memimpin negeri sebaik memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, esok.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata sehubungan itu, pengundi Johor perlu membuat pilihan bijak memilih kerajaan yang baik.

“Kepada pengundi di seluruh Johor, pada 12 Mac ini anda semua ada satu pilihan iaitu untuk menentukan hala tuju dan masa depan Johor.
“Apabila kita ada peluang, maka ambillah peluang itu. Gunalah kebijkasanaan untuk memilih parti yang baik dan saya mencadangkan kami, BN dan UMNO bersedia menggalas amanah dan tugas.
“Maka anda semua pengundi Johor wajar memberi perhatian, gunakan akal fikiran yang waras dan pilihlah kerajaan yang baik,” katanya pada perjumpaan bersama Pengundi di PDM Pasir Puteh, di sini, semalam.
Program yang dihadiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu berjaya mengumpul lebih 2,000 anak muda.
Bung Moktar berkata, rakyat khususnya pengundi muda tidak harus terpedaya dengan janji dan dakyah pembangkang yang gagal menunaikan manifesto pada PRU-14, selain gagal mewujudkan kestabilan politik sehingga ekonomi negara terjejas dan kebajikan rakyat terabai .
“Pada PRN kali ini jangan lagi kita tersesat di jalan terang, BN selama ini telah terbukti sebagai sebuah parti yang mampu mentadbir negara dengan baik,” katanya.
Beliau mengakhiri pesanannya dengan meminta rakyat Johor keluar mengundi dan memanfaatkan kuasa yang ada untuk memilih kerajaan yang boleh membela nasib rakyat.
“Jangan persia-siakan peluang yang ada, PRN kali ini adalah masa untuk mengubah masa depan Johor ke arah yang lebih baik,” katanya.
-Deasoka