
Tawau: Polis mengesahkan tiada sebarang laporan diterima berhubung rakaman suara yang tular di media sosial kejadian cubaan samun di Batu 37, Jalan Sapulut-Kalabakan, sejak beberapa hari lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya sentiasa menjalankan rondaan pemantauan keselamatan di kawasan berkenaan.
“Tiada sebarang laporan diterima daripada mana-mana pihak berhubung rakaman suara yang tular di media sosial berkenaan.
“Bagaimanapun, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa berjaga-jaga memandangkan kawasan berkenaan terletak jauh dari sebarang penempatan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, selain itu, kawasan berkenaan juga mempunyai liputan komunikasi yang terhad sehingga menyukarkan tindakan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Sementara itu, dalam rakaman yang tular itu menceritakan seorang pemandu berdepan detik cemas apabila tiba-tiba cuba ditahan sekumpulan empat lelaki bersenjatakan parang.
Bagaimanapun, lelaki yang mengaku sebagai mangsa kejadian berkenaan mendakwa sempat mengelak dan terlanggar salah seorang penjenayah terbabit.
-Deasoka