
Kota Kinabalu: Kerajaan negeri memberikan insentif hampir RM1 juta kepada kontinjen atlet Para SUKMA Sabah berikutan pencapaian terbaik pasukan selepas muncul johan keseluruhan kejohanan itu, baru-baru ini.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin, berkata jumlah itu merangkumi RM516,100 untuk insentif kemenangan yang diberi kepada atlet berjaya mendapat pingat.
Katanya, sebanyak RM387,000 lagi diluluskan kerajaan negeri sebagai insentif kerana berjaya mencapai sasaran 40 pingat emas.
“Pencapaian menakjubkan yang ditampilkan oleh kontinjen atlet Para SUKMA Sabah pada temasya kali ini, sebanyak RM516,100 insentif kemenangan telah diberikan kepada atlet yang berjaya mendapat pingat.
“Di samping itu, permohonan insentif sebanyak RM387,000 telah diluluskan oleh pihak kerajaan negeri kerana berjaya mencapai sasaran pingat 40 pingat emas,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 bagi kementeriannya pada Persidangan DUN, hari ini.
Pada Temasya Sukan PARA SUKMA MSN ke-20, yang diadakan pada 1 hingga 6 November 2022 lalu, Sabah mencipta sejarah apabila kontinjen Para SUKMA negeri dinobatkan sebagai johan keseluruhan buat julung kali.
Kontinjen Sabah berjaya mengutip 54 pingat emas, 36 perak dan 35 gangsa.
Ellron berkata, sebanyak 15 rekod baharu juga dicipta atlet Para SUKMA Sabah pada temasya sukan berkenaan.
Sementara itu, katanya pada Temasya Sukan Para ASEAN Solo, SURAKARTA 2022, atlet Sabah menyumbang sebanyak lapan pingat emas dan satu pingat Perak bagi membantu kontinjen negara mengumpul 36 pingat emas, 20 pingat perak dan 14 pingat gangsa.
Katanya, kerajaan negeri memberikan insentif kemenangan kepada atlet negeri bagi kejohanan berkenaan yang berjumlah RM68,000.
“Salah satu cara untuk menyuntik semangat para atlet untuk berjaya memenangi sesuatu acara sukan adalah dengan menyediakan insentif kemenangan.
“Sebanyak RM402,600 telah diberikan
kepada atlet Sabah yang memenangi pingat para temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 dan RM10,000 insentif kemenangan diberikan kepada atlet yang memenangi pingat pada Sukan Komanwel,” katanya.
-Deasoka