
Kota Kinabalu: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, hari ini mengumumkan lanjutan tempoh pengambilan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada penerima vaksin Sinovac.
Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) melanjutkan tempoh selama sebulan lagi iaitu sehingga 31 Mac depan sebelum status vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera berubah menjadi tidak lengkap bagi individu yang belum mengambil dos penggalak.
Sebelum ini, Khairy berkata penerima vaksin Sinovac dan golongan berumur 60 tahun ke atas sama ada menerima vaksin Sinovac atau bukan perlu mengambil dos penggalak sebelum 1 Mac ini.
Dalam sidang medianya di Putrajaya petang tadi, beliau menggesa semua penerima vaksin Sinovac dan golongan berumur 60 tahun ke atas supaya mengambil dos penggalak sebelum 1 April depan.
Jika tidak, katanya status vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera penerima vaksin terbabit akan bertukar menjadi tidak lengkap mulai 1 April.
-Deasoka