
Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan melaksanakan Program Khas Pendataan Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah bagi mengumpul maklumat terperinci jumlah warga asing di Sabah bermula 3 Februari hingga 2 Ogos depan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata program itu dikendalikan anak syarikat kerajaan negeri, Smart Sabah Corporation Sdn Bhd (SmartSabah), yang turut membangunkan Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah serta mengurus semua hal berkaitan pekerja asing di Sabah.
Beliau berkata, maklumat itu penting bagi menyelesaikan data tidak seragam yang dikeluarkan pelbagai agensi selain untuk membantu kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan merencana dasar yang membabitkan pekerja asing dan bukan pemastautin di negeri ini.
Jelasnya, pelaksanaan program itu juga bagi membantu agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab dalam aspek pemantauan; mengenal pasti keperluan industri dan penyesuaian dengan Dasar Buruh Negara.
“Selain itu, ia juga penting dalam melaksanakan rekod pengenalan biometrik keselamatan (cap jari dan muka) untuk setiap pekerja asing dan bukan pemastautin Sabah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing Sabah (JKPWAS – Teknikal), di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dan Pengarah Urusan SmartSabah, Ir Abd Aziz Julkarnain.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Bersama JKPWAS – Teknikal berkata, menerusi program pendataan itu, SmartSabah akan mendapatkan maklumat mengenai pekerja asing daripada kira-kira 21,000 majikan dalam pelbagai sektor di Sabah bermula pada 3 Februari hingga 2 Mei depan.
“Program ini terbuka kepada majikan yang mempunyai pekerja asing yang sah, tidak sah, pemastautin dan bukan pemastautin yang berada di Sabah sehingga kini,” katanya.
Beliau berkata, pengurusan data yang tidak menyeluruh dan bersepadu boleh merencatkan usaha untuk menyelesaikan isu pengurusan pekerja asing di Sabah, selain menyukarkan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan agensi seperti Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDNP) Sabah, Jabatan Imigresen Sabah (JIMS) dan Jabatan Tenaga Kerja.
Katanya, program khas pendataan itu bagi memudahkan semua pekerja asing tidak sah dari semua sektor dan subsektor pekerjaan di Sabah memohon Pas Lawatan Kerja Sementara daripada Jabatan Imigresen, selain memberi kelonggaran kepada pekerja asing tidak sah untuk pulang ke negara asal masing-masing tanpa dikenakan tindakan undang-undang dengan syarat tidak melakukan kesalahan jenayah.
“Selepas program khas ini berakhir, majikan yang masih lagi menggajikan pekerja asing tidak sah akan dikesan dan ditangkap melalui Operasi Penguatkuasaan Bersepadu oleh agensi penguatkuasaan. Tindakan keras akan diambil terhadap mereka yang bersalah.
“Program ini untuk memastikan kerajaan Sabah memiliki data tepat secara ‘real time’ berkaitan pekerja asing bagi pemantauan, kawalan dan aspek keselamatan negeri.
Bung Moktar berkata kerajaan memandang serius laporan majikan yang menggajikan pekerja asing tidak sah selain mengambil maklum rayuan pemain industri untuk membenarkan Program Penentukuran Semula Buruh dalan kalangan pekerja asing dilaksanakan semula bagi mengtasi masalah kekurangan tenaga kerja.
-Deasoka