Polis Sipitang berjaya tahan pengedar, penagih hasil maklumat awam

Polis Sipitang berjaya tahan pengedar, penagih hasil maklumat awam

Sipitang: Kerjasama polis dan masyarakat di daerah ini terbukti berhasil apabila dua individu membabitkan pengedar dan penagih dadah berjaya ditahan dalam operasi yang dijalankan kelmarin.

Kedua-dua lelaki berusia 40-an terbabit ditahan dalam dua serbuan berasingan di Kampung Guruh-Guruh dan Kampung Batu 2, Jalan Sindumin, di sini, bermula jam 1.30 tengah hari.

Dadah syabu yang dirampas adalah seberat 5.15 gram.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, berdasarkan maklumat awam, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang menyerbu rumah suspek pertama di Kampung Guruh-Guruh, di sini.

Katanya, hasil pemeriksaan, polis menemui satu plastik mengandungi dua paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur disyaki dadah jenis syabu.

“Anggaran kasar dadah syabu yang dirampas adalah seberat 5.15 gram dan suspek terus ditahan untuk tindakan selanjutnya.

“Serbuan kedua dijalankan di Kampung Batu 2, di sini, pada jam 4 petang dan berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai penagih dadah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Champin berkata, hasil ujiangan saringan air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek juga didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Katanya, suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Manakala suspek kedua yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau pula disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya.

Sehubungan itu, Champin berkata, kerjasama daripada masyarakat Sipitang amat diperlukan dalam menyalurkan maklumat aktiviti pengedaran dan penagihan dadah.

Katanya, ia adalah salah usaha terbaik dalam menjadikan daerah Sipitang bebas dari masalah dadah syabu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|